Norshahrul yang lebih dikenali sebagai Mat Yo mendedahkan, dia telah menyatakan hasrat untuk menyarung jersi Harimau Selatan musim depan dan hasrat itu sudah dimaklumkan kepada pihak pengurusan KAFA sebelum ini.
Bagaimanapun, permohonan pemain kelahiran Besut, Terengganu itu ditolak.
Justeru, Mat Yo berharap perkara tersebut dapat diselesaikan dengan cara baik demi mengembangkan kariernya sebagai pemain profesional.
"Saya berharap KAFA dapat melepaskan saya (berhijrah ke Johor) serta memandang perkara ini dari sudut yang lebih positif.
"Sebelum ini, saya pernah menghantar surat tunjuk sebab mengapa saya mahu berhijrah. Salah satu sebab tersebut adalah faktor keluarga dan KAFA sudah tahu mengenainya melalui surat yang saya hantar.
"Saya semakin berusia dan tidak mampu untuk bermain bola dalam tempoh yang panjang. Saya berharap mereka dapat melihat dari sudut ini dengan memahami situasi saya," katanya kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Tambah penyerang yang meledak dua gol ketika membantu skuad kendalian Bojan Hodak menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-2 pada aksi final Piala Malaysia 2012, dia berharap perkara ini dapat diselesaikan sebelum kejohanan Piala AFF Suzuki yang bakal membuka tirainya pada 25 November ini.
"Jika boleh, saya berharap perkara ini dapat diselesaikan sebelum kejohanan Piala AFF Suzuki agar ia tidak mengganggu prestasi serta tumpuan saya.
"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada KAFA sepanjang saya menabur bakti selama tiga tahun di sana kerana sentiasa memberikan peluang kepada saya.
"Sepanjang tempoh tersebut, saya telah berjaya membantu Kelantan menjulang kejayaan dalam Liga Malaysia (Liga M) dan saya percaya penghijrahan ke Johor itu bukan faktor kewangan semata-mata.
"Saya sendiri pun tidak tahu daripada mana timbul isu bayaran RM80,000 itu dan saya cuma ingin beralih angin demi masa depan saya," katanya.
Ditanya mengenai ganjaran selepas Kelantan berjaya meraih gelaran trebel yang mungkin hanya diberikan kepada pemain-pemain setia, Mat Yo berharap Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa dapat menilai kembali syarat-syarat tersebut.
"Bagi saya, beliau (Annuar) sebagai presiden boleh menilai (situasi) ini dan tahu itu hak siapa," katanya.
Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my
_________________________________________
*Mat Yo akan beralih ke Johor dan amat berharap dapat berbakti untuk johor ! Yesss ! Tahun depan boleh lah pakai jersey JOHOR ! Terima kasih TMJ sebab sayang kan Johor. Ada Kota Iskandar dan menaiktaraf kan sukan Johor :)
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.